Penginapan Hotel Paling Murah di Malaysia!

Malaysiaupdate.com adalah tempat paling tepat untuk mencari Maklumat terkini mengenai penginapan Hotel yang paling murah dan terbaik semasa melancong di Malaysia

2 lelaki angkut ketum kena angkut

2 min read

ANGGOTA Unit Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu berjaya merampas 572 kilogram (kg) daun ketum yang ditemui dalam dua kereta dipandu dua lelaki dalam tangkapan berasingan dalam tempoh 30 minit di Jalan Bukit Wang, Jitra, Kubang Pasu, semalam.

Dalam serbuan pertama jam 2.30 pagi, seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan ketika dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Bukit Wang, Jitra.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan menemui sembilan bungkusan plastik hitam mengandungi daun hijau disyaki ketum dalam plastik lutsinar di bahagian but kenderaan.

Beliau berkata, anggaran daun ketum itu adalah seberat 122 kilogram.

“Berikutan itu, suspek yang juga penganggur dan berasal dari Kangar, Perlis ditahan untuk siasatan lanjut.

“Hasil semakan, suspek mempunyai tiga rekod iaitu Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) 1952 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah.

Sementara itu, dalam tangkapan berasingan selang 30 minit selepas itu, seorang lelaki bertindak memecut kereta jenis Honda City dipandunya ketika cuba ditahan anggota polis peronda di lokasi sama dalam usaha melarikan diri.

Namun, usahanya gagal apabila keretanya terbabas menyebabkan dia berjaya ditahan tidak lama kemudian.

Lelaki berusia 35 tahun juga berasal dari Kangar, Perlis dipercayai membawa 36 bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum ditemui dalam kereta dipandunya itu.

Mohd Ismail berkata, kejadian berlaku ketika anggota peronda Zon 1 dan 2 (Jitra Utara dan Selatan) sedang membuat rondaan dan melihat kereta dipandu lelaki itu dan cuba menahannya.

Baca Juga>>>  27 pemandu ditahan, 115 tan kayu getah dirampas

Bagaimanapun, beliau berkata, lelaki terbabit enggan memberhentikan kereta dan memecut laju.

“Berikutan itu, anggota MPV meminta bantuan polis peronda Zon 4 (Changlun/Bukit Kayu Hitam) untuk membantu mengejar kereta suspek.

“Bagaimanapun, kereta suspek terbabas di bahu Jalan Bukit Wang dan melanggar pokok sehingga menyebabkan kecederaan terhadap pemandunya,” katanya.

Mohd Ismail berkata, hasil pemeriksaan menemui 20 bungkusan plastik hitam mengandungi daun hijau disyaki ketum seberat 243 kilogram (kg) di bahagian tempat duduk belakang kenderaan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut kemudian menemui 16 lagi bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 207 kg di dalam but kereta.

“Jumlah keseluruhan daun ketum ditemui adalah seberat 450 kg.

“Hasil semakan rekod mendapati, suspek yang juga penganggur tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan bebas dari pengaruh dadah,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

KONGSIKAN KEPADA RAKAN ANDA!